Monday, 13 October 2014

Peranan Usahawan

PERANAN USAHAWAN
"Allah tidak akan menolong sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri menolong dirinya". Ini menunjukkan tanpa usaha, tidak akan ada pembangunan. Pembangunan negara, khususnya pembangunan ekonomi, bergantung kepada manusia yang mengejar peluang-peluang ekonomi. Pembangunan ekonomi bergantung kepada manusia yang berupaya menggembleng faktor-faktor pengeluaran. Manusia itu adalah usahawan.
Secara jelas, keusahawanan boleh menyumbang kepada pembangunan.Implikasi pembangunan ialah kehidupan yang selesa. Rezeki yang mencukupi dan melebihi, menyumbang ke arah kehidupan dan kemakmuran bersama. Keusahawanan juga meningkatkan kualiti kehidupan dengan penemuan demi penemuan dan ini meluaskan pilihan pengguna. Keusahawanan membanyakkan peluang mata pencarian dan menyumbang ke arah produktiviti kebangsaan. Keusahawanan membantu ke arah pengagihan pendapatan yang lebih saksama seterusnya membawa kebaikan sosial melalui pengembalian sejumlah pendapatan kepada negara dalam bentuk pengembalian wajib seperti cukai dan zakat, mahu pun yang sukarela. Bukankah Islam sendiri menyatakan " sembilan persepuluh rezeki, itu di dalam perniagaan."
Secara ringkas bolehlah dikatakan keusahawanan itu berperanan :-

Menyumbangkan Idea Dan Pembaharuan
Dalam konteks perhubungan usahawan dengan firmanya, usahawan adalah sumber utama idea dan pembaharuan. Idea dan pembaharuan tidak semestinya terlalu unik, peningkatan daripada idea yang sedia ada juga merupakan sesuatu yang bernas.Untuk memainkan peranan ini usahawan harus sentiasa berpemerhatian dan berfikiran terbuka.

Merancang
Daripada idea dan penyerlahan peluang, usahawan merancang. Perancangan strategik harus mengambilkira apa yang ada, yang tiada dan yang bakal ada. Perancangan menentukan apa yang diperlukan. Oleh itu penggembelingan faktor pengeluaran, harta, tenaga dan modal harus menyusul.

Mengurus / Mengeluar / Mengedar / Menanggung Risiko
Sumber-sumber seterusnya diurus, dikeluarkan hasil dalam bentuk barangan atau perkhidmatan dan diedar. Penentuan hasil pengeluaran dan sasaran pasaran amat penting. Sepanjang usaha usahawan itu, dari mula terbitnya idea hingga ke penawaran barangan dan perkhidmatan, ianya tidak dapat lari dari berbagai ketidakpastian dan inilah yang dikatakan risiko. Sebaik mana sekalipun perancangan, kekuasaan manusia memang terbatas. Risiko-risiko yang banyak dan kadang-kadang tidak terduga bila timbulnya, adalah tanggungan usahawan.

Menawarkan Peluang Pekerjaan
Usahawan menawarkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja yang sesuai. Dengan ujudnya industri dari pihak usahawan secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kesannya kadar pengangguran semasa akan menurun.

Menyediakan Pilihan Dan Penawaran Serta Memenuhi Kehendak Pengguna
Penggunaan tenaga kerja yang bersesuaian dan peningkatan kemahiran tenaga kerja dari masa ke semasa akan mempertingkatkan produktiviti. Hasilnya usahawan dapat pula menyediakan pilihan dan penawaran yang lebih banyak dan lebih baik kepada pengguna.. Pengguna mempunyai citarasa yang pelbagai dan adalah menjadi tugas seorang usahawan untuk memenuhi kehendak dan keperluan tersebut.

Menyumbangkan Kebajikan Dan Kepimpinan
Memenuhi keperluan asas masyarakat akan menyumbangkan ke arah peningkatan kebajikan masyarakat. Sumbangan peribadi dalam bentuk derma, zakat dan sebagainya juga merupakan bentuk kebajikan. Dalam memainkan peranan-peranannya, usahawan sesungguhnya menunjukkan kepimpinannya. Peluang kepimpinan tidak semestinya dalam dunia perniagaan semata. Kepakaran dan pengalaman usahawan juga diperlukan dalam pendidikan, pentadbiran negara dan sosial.

No comments:

Post a Comment